Saturday, November 21, 2009

Barisan pemain Bawah 18 2010

Berikut ialah pemain-pemain yang berkemungkinan akan membarisi pasukan Bawah 18 SMK. Methodist 2010. Barisan pemain yang dipilih bukan hanya berdasarkan kebolehan bermain sahaja, tetapi juga disiplin diri, mendengar kata dan tidak bergaduh. Apa pun pemain yang disenaraikan ini mungkin akan bertukar sekolah atau tidak ingin mewakili sekolah. Itu tidak akan menjadi kudis walau sedikit pun. Kepada yang ingin bertukar sekolah silakan dan semoga anda berjaya. Bagi pasukan Bawah 18 tahun hadapan, biar kita kalah, asalkan tidak membawa masalah kepada Cikgu Akmal dan saya sendiri. Kita tidak mahu dilabelkan sebagai pasukan yang ganas hanya kerana seorang dua pemain.

1. Mohd Syawal
2. Suresh Babu
3. Kathiravan
4. K. Kaliswaran
5. Utayanan
6. Amirul Aizat (dgn syarat jangan ponteng sekolah)
7. S. Vicneswaran (kapten)
8. Nuthan
9. Bala
10.Meor Amizan
11. M. Kaliswaran
12. Vinith
13. Vishal
14. Thiruvel
15. Asnawi
16. Yazid
17. A. Kishan
18. Shoman

Kepada Steven, Faizal dan Kamalakcha, jika sanggup mengubah sikap dan membuat aku janji di hadapan PK HEM, anda akan diterima semula. Kita juga akan menerima 3 orang lagi pemain yang bertaraf bintang (kononnya) yang kalau jadi akan masuk ke sekolah kita.

Thursday, November 19, 2009

Kekecewaan

Hari ini Khamis 19 Nov. 2009 merupakan hari yang mengecewakan kerana seorang pemain (Ting. 4) menunjukkan sikap yang biadap dan kurang ajar. Selama berkecimpung dalam bola sepak di sekolah selama lebih kurang 12 tahun, inilah kali pertama seorang pemain menunjukkan sikap kurang ajar seperti itu. Peristiwa bermula apabila dia bersama rakannya ditegur supaya jangan pergi ke padang untuk menyaksikan perlawanan bola sepak 7 sebelah yang diadakan pada waktu persekolahan. Ini adalah arahan Pengetua yang tidak membenarkan pelajar-pelajar yang tidak terlibat keluar kelas. Apatah lagi semalam dia dan kumpulannya keluar kelas untuk memberikan sokongan dan berlaku sedikit pergeseran. Belum habis bercakap, dia terus pergi dengan biadap dan tidak mengendahkan apabila dipanggil. Dengan ini pemain tersebut tidak akan dipilih untuk mewakili sekolah walaupun dia pada tahun ini telah mewakili daerah. Jika dia ingin mempengaruhi rakan-rakannya termasuk abangnya yang juga berada di Ting. 4 untuk keluar dari team, biarkan. Biar kita tidak menghantar team Bawah 18 pada tahun hadapan, daripada mempunyai pemain seperti ini. Sudahlah kita keseorangan menguruskan pertandingan, dalam masa yang sama terpaksa mengawal pelajar-pelajar yang keluar kelas untuk menyaksikan perlawanan. Apabila pelajar-pelajar keluar kelas untuk menyaksikan pertandingan, saya juga yang disalahkan oleh pihak atasan. Beginilah nasib guru Bola Sepak. Tekanan semakin meningkat apabila hari ini juga keluar keputusan UPSR. Dengan tekanan kiri dan kanan, depan dan belakang, ada juga pemain yang menunjukkan sikap yang biadab seperti itu.


....................... Biar kurang makan, jangan kurang ajar

Pertandingan akhir 7 sebelah

Pertandingan akhir 7 sebelah



Friday, November 6, 2009

Bawah 15 Peringkat Negeri Perak

Saya ditugaskan untuk membawa pasukan Bola sepak Bawah 15 Daerah Kuala Kangsar ke peringkat negeri bersama En. Zaidi dari RMM selaku pengurus (memang pengurus yang cemerlang boleh bagi A+). Kita telah gagal untuk layak ke pusingan seterusnya.Pasukan yang dihantar pada tahun ini agak tempang dan di sini beberapa senario yang membawa kegagalan pasukan ini. Bukan alasan yang hendak dicari di atas kegagalan ini. Memang saya akui saya bukanlah jurulatih yang baik. Tetapi sama-sama kita renungkan senario di bawah buat pedoman pada tahun hadapan:

1. Pembentukan pasukan yang lewat.
Hanya dilakukan 6 hari sebelum bertanding. Walaupun nama jurulatih telah
diumumkan semasa mesyuarat sebelum pertandingan di peringkat daerah, tetapi
selepas pertandingan akhir bawah 15 pemilihan pemain tidak dilakukan dengan
segera. Apabila diajukan kepada pihak pengerusi pertandingan, mereka tidak
mendapat apa-apa makluman dan mengatakan nama jurulatih pun belum pasti lagi.
masih boleh dicantas selagi belum dikeluarkan surat. Bayangkan pemilihan
dijalankan pada hari Sabtu dan Kejohanan peringkat negeri dilangsungkan pada hari
Jumaat iaitu lima hari selepas dibuat pemilihan.
2. Kehadiran waktu pemilihan sangat mengecewakan. Hanya 21 orang sahaja yang hadir.
Dari 21 orang, separuh daripadanya tidak memenuhi kritirea tetapi dipilih juga
seramai 17 orang dan pemilihan diteruskan lagi pada hari Isnin berikutnya. Banyak
pemain yang menyerlah sewaktu pertandingan tidak hadir sesi pemilihan. Kenapa?
3. Pemain-pemain Clifford yang menjuarai peringkat daerah yang juga bermain dalam
kejohanan Liga Kementerian Pelajaran peringkat kebangsaan tidak dibenarkan
bermain mewakili daerah. Apa guna bermain di peringkat daerah kemudian tidak
dibenarkan bermain di peringkat negeri. Namun bergitu terima kasih juga kepada
Sdr Mat Shah yang membenarkan 4 pemain yang tidak terlibat dalam Liga Kementerian
untuk bermain.
4. 4 orang pemain dari MCKK menarik diri. Sepatutnya 4 orang yang menarik diri itu
adalah tunggak pasukan
5. Pada peringkat kumpulan berlaku keputusan yang di luar jangkaan apabila pasukan
LMS mengalahkan pasukan Kerian. Kemudian pasukan Kuala Kangsar mengalahkan
pasukan
Kerian dan akhir sekali pasukan Kuala Kangsar tewas di tangan LMS. Setiap pasukan
menang sekali dan dua pasukan yang layak ditentukan melalui perbezaan gol.
6. Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan LMS, 5 orang pemain mengalami
kecederaan termasuklah ayam tambatan kita si kepala ajaib Syafiq dari Clifford.
Dalam pertandingan berlaku lagi kecederaan sehingga terpaksa memasukkan pemain
yang cedera.
7. Akhir sekali pegawai-pegawai yang akan bersama pasukan hanya dapat disahkan
sehari sebelum pertandingan. Pihak pengerusi pertandingan (SMT) yang sepatutnya
bertindak sebagai pihak pengurusan tidak dapat bersama-sama pasukan kerana
terlibat dengan pertandingan peringkat kebangsaan.

Nasib pasukan Bawah 18 di bawah En. Suhaimi pun mengalami nasib yang sama. Terkandas di peringkat kumpulan hanya dengan perbezaan gol yang tipis. Apapun pada tahun hadapan pasukan daerah Bawah 15 mempunyai potensi kerana hampir separuh dari pasukan adalah pemain Ting. 2. Seperti dikatakan dari awal, bukan alasan yang dicari tetapi dengan malang yang menimpa, mungkin jurulatih seperti K. Raja Gopal sahaja yang dapat mengatasinya. Seperti kata sdr Mat Shah apabila diminta bantuan dan kepakarannya, " minta maaf, teman tak sanggup bantu pasukan last minute seperti ini".

Pasukan Bola Sepak Bawah 14 2009


Berdiri dari kiri
Shahbani (23), Zahirudin (13), Yugeswaran (5), Azuan (18), Yugendran (4), Mathan (17), Nishan (12), Kathiravan (15), Anantha Rao (11), Asnawi (9), Khairul (6), En. Zamziba (coach)
Duduk dari kiri
Ganeash (8), M. Hafiz (8), Kalairasan (19), Yazid (7), Meor Amizan (10), Rignesh (14), Meor Afiq (3)
Tiada dalam gambar
Raizarul Azfar, M Taufiq dan Sasikumar

Thursday, November 5, 2009

Keputusan perlawanan persahabatan

Perlawanan persahabatan yang berlangsung petang ini berkesudahan dengan pasukan Ting. 4 berjaya mengalahkan pasukan Ting. 2 dengan jaringan 2-0. Apapun perlawanan berlangsung dengan sengit dan tidak berat sebelah. Tahniah kepada pasukan Ting. 2 yang walaupun tewas telah menunjukkan permainan yang memberangsangkan dan berjaya menahan asakan dari pasukan abang mereka. Gol dijaringkan oleh Vishal Menon dan S. Vicneswaran.

Sunday, November 1, 2009

Pertandingan Bola Sepak Persahabatan

Satu pertandingan bola sepak persahabatan di antara pasukan Bawah 14 SMK. Methodist dengan pilihan Ting. 4 akan diadakan pada :

Tarikh : 5 Nov. 2009 (Khamis)
Masa : 5.00 petang
Tempat : Padang Sekolah

Walaupun pasukan Bawah 14 masih mentah dan berbadan kecil tetapi kemenangan bukanlah perkara utama,asalkan dapat bermain sebagai satu pasukan. Jika kalah pun tidak mengapa tetapi yang lebih penting dapat pengalaman bermain dengan pemain-pemain yang yang lebih tinggi usianya. Kepada pasukan Ting. 4 janganlah bermain ganas dengan pasukan adik-adik anda. Semangat kesukanan perlu diutamakan.

Selamat berjuang.